--''''>>--sEBuTir bINt@nG Di kAKi pELAnGi--<<'''--||

Aku masih bisa berlari, aku masih bisa mendaki pelangi, walau tanpa engkau di sisi, akan aku teruskan hidup ini... Usahlah engkau gundah tentang perasaanku, setelah engkau melangkah pergi, pedih ini akan bisa sembuh, bila saja terbit mentari... ~apabila engkau jauh dariku terasa engkau hampir padaku, namun mengapa apabila engkau di sampingku terasa seakan engkau menjauhiku?~



Monday, May 01, 2006

Warkah Buat Zahra


PROLOG

“Jangan rebut barang tu dengan kakak, Rina! Lepaskan!”

Jeritan Puan Maziah bergema di setiap sudut rumah. Zahratul Marina masih cuba menarik anak patung Barbie dari tangan Zahratul Maria. Zahratul Maria menahan. Berkerut-kerut wajahnya mempertahankan anak patung kesayangannya itu dari dirampas oleh Zahratul Marina.

“Rina nak anak patung ni. Kakak punya lagi cantik dari Rina! Bak dekat Rina!!”

“Ini kakak punya! Rina dah ada sendiri punya, mana boleh ambil kakak punya lagi!”

Puan Maziah sudah mula berang. Baik Zahratul Marina mahu pun Zahratul Maria masing-masing tidak mahu mengalah. Puan Maziah bangun menghampiri mereka berdua.

“Beri pada ibu! Jangan seorang pun ambil anak patung ni tanpa izin ibu!”

Anak patung Barbie bertukar tangan. Zahratul Maria tunduk. Zahratul Marina tersenyum sinis – penuh makna! Segera pula dia kembali mengambil anak patung Barbie miliknya yang terbaring di lantai lalu dipeluknya erat.

Zahratul Maria menuju ke bilik tidurnya sambil menangis tersedu-sedu. Anak patung Barbie hadiah dari ayah mereka untuk ulangtahun kelahiran mereka yang ke 6 tahun minggu lalu sudah dirampas. Semua itu bukan salahnya! Anak patung itu kepunyaannya dan dia berhak mempertahankannya! Tapi kenapa ibu tidak mahu faham? Kenapa hukuman yang diberi seolah-olah dia juga turut bersalah dalam hal ini?


Secalit tinta seuntai kata - aku akan masukkan sedikit demi sedikit keratan dari novel terbaru aku "Warkah buat Zahra" dekat dalam blog ni utk mengingatkan aku tentang pengalaman aku menyiapkan novel ini.. segalanya untuk kenangan..

Dunia Penulis


Aku hidup dalam dunia novel sejak zaman sekolah lagi. Yang aku tahu, novel memainkan peranan penting dlm membina kematangan pemikiran seseorang.

Mungkin juga aku ini dianggap sebagai 'gifted person' dan diberi anugerah indah dalam bidang penulisan. Sejak di bangku sekolah lagi aku sudah giat menulis cerpen tapi hanya utk bacaan sendiri dan rakan-rakan.

Aku bukan sehebat Usman Awang, A Samad Said, Faisal Tehrani atau mana-mana penulis hebat zaman kini. Untuk meletakkan diri aku sebaris dengan Liana Afiera Malik atau Norhayati Ibrahim serta Sharifah Abu Salem pun aku tak layak lagi. Aku mengagumi hasil tulisan mereka. Seingat aku, sewaktu di zaman remaja, naskah-naskah tulisan Khatijah Hashim adalah yang pertama sekali aku cari. Sebut saja nama novel beliau - Laila Azwa Gadisku, Mira Edora, Lancang Kuning, Merpati Putih Terbang Lagi, Senator Adila... antara koleksi yang pernah aku miliki dan kini sudah hilang entah ke tangan siapa aku pun tak pasti!

Aku hanya sebutir bintang yang kelam kerlipannya. Dudukku hanya di kaki pelangi. Mega-mega yang tergantung tanpa tali di permaidani langit itu terlalu tinggi untuk ku capai. Tanganku ini tidak mampu menggapai bulan untuk singgah di sebelahnya.

Wajah Kekasih - kelahiran cahaya mata sulungku di dunia yang penuh coretan imaginasi dan pengalaman tangan-tangan pemikir dan pencipta bahasa merupakan satu hadiah untukku. Kadang-kala aku mengeluh kerana bingung memikirkan mengapa dunia ini yang aku pilih sedangkan aku berkecimpung di dalam bidang pengiraan sejak beberapa tahun yang lalu. Namun sering kali aku tersenyum kerana puas melihat naskah bertanda RM18.90 itu di toko-toko buku serata Malaysia.

Kini, cahaya mata keduaku baru dalam proses pengenalan. Masih belum matang lagi. Warkah Buat Zahra; ku namakan ia. Moga-moga warkah itu bisa berselerakan di mana-mana. Moga-moga bingkisan catitan itu bisa dibaca oleh semua orang.

Aku tidak mahu selamanya duduk di kaki pelangi. Aku mahu bergantung di dada langit, menemani bulan yang segak dan megah bercahaya di kala malam tiba...