--''''>>--sEBuTir bINt@nG Di kAKi pELAnGi--<<'''--||

Aku masih bisa berlari, aku masih bisa mendaki pelangi, walau tanpa engkau di sisi, akan aku teruskan hidup ini... Usahlah engkau gundah tentang perasaanku, setelah engkau melangkah pergi, pedih ini akan bisa sembuh, bila saja terbit mentari... ~apabila engkau jauh dariku terasa engkau hampir padaku, namun mengapa apabila engkau di sampingku terasa seakan engkau menjauhiku?~



Wednesday, May 03, 2006

Warkah Buat Zahra - Bab Tiga



Bab Tiga

Zahratul Marina menghamburkan kemarahannya dengan mencampak barang-barang yang ada di atas meja solek. Berderai pasu bunga dari Sarawak pemberian ibu saudaranya yang tinggal di sana sebaik sahaja mencecah ke lantai.

Puan Maziah yang berada di ruang tamu terperanjat. Segera dia meletakkan majalah ke kusyen dan berlari masuk ke dalam bilik Zahratul Marina. Sejak akhir-akhir ini Zahratul Marina sering saja naik angin. Dia sendiri tidak pasti kenapa semakin hari perangai Zahratul Marina semakin menyakitkan hatinya.

Tombol pintu bersalut perak itu diputar dan Puan Maziah memboloskan dirinya masuk ke dalam bilik Zahratul Marina. Dia mengucap panjang melihat keadaan bilik Zahratul Marina yang seperti kapal karam setelah dilanda ribut ombak di lautan.

“Kenapa dengan Rina ni? Mengamuk tak tentu pasal ni kenapa? Apa lagi yang Rina tak puas hati? Cuba beritahu ibu kenapa sekarang ni perangai Rina makin menjadi-jadi?”

Zahratul Marina tidak menjawab sebaliknya terus memunggah barang-barang yang sudah berterabur di lantai seolah-olah mencari sesuatu. Dia tidak mempedulikan Puan Maziah yang duduk di bucu katil memerhatikan gelagatnya tanpa bicara.

“Boleh tak Rina berhenti dulu memunggah dan ceritakan pada ibu apa yang Rina cari sehinggakan Rina memunggah satu bilik ni?”

“Rina cari Rina punya sunflower scarf yang beli dekat Melaka dulu. Puas Rina cari tak jumpa. Mana Rina tak naik angin! Mesti ada yang sabotaj Rina ni!”

“Scarf tu Rina yang punya ke? Ibu ingat Mar punya. Ibu letak dalam bilik Mar. Lain kali tanya dulu pada ibu. Rina letak benda tu merata-rata. Ibu jumpa dekat sofa di luar, bukan di dalam bilik. Ibu ingat Mar tertinggal scarf tu dekat rumah, jadi ibu simpan dalam bilik Mar.”

“Ah, ibu memang! Sikit-sikit Mar punya. Apa saja dalam rumah ni Mar saja yang punya walaupun itu hak Rina. Macam Mar sorang saja anak ibu, Rina ni bukan!” Ada nada merajuk dari luahan itu.

Puan Maziah tersenyum nipis. Dia tidak pernah mahu membezakan Zahratul Maria dan Zahratul Marina. Mereka berdua anaknya. Walaupun berbeza perangai, baik Zahratul Maria mahupun Zahratul Marina tetap anaknya. Dia bangun dan menuju ke bilik Zahratul Maria untuk mengambil scarf yang dimaksudkan oleh Zahratul Marina.

“Ini scarf yang Rina cari. Lain kali tanya dulu. Sekarang ni siapa yang nak kemas balik bilik Rina ni? Ibu tak mahu kemaskan. Rina yang sepahkan, Rina yang kena kemas balik.”

“Ala ibu… Rina dah lambat nak keluar ni. Cari scarf punya pasallah ni. Kalau dari tadi lagi Rina dah jumpa scarf ni tak adalah Rina punggah bilik ni sampai jadi macam tongkang pecah.”

“Cuba Rina tengok sikit jam dekat dinding tu dah pukul berapa sekarang? Nak keluar ke mana lagi ni? Jangan asyik nak keluar saja. Pelajaran entah ke mana. Tak tahu penat ke Rina ni? Ibu yang tengok pula yang naik risau. Sudahlah siang sibuk di pejabat, nak mengulangkaji pelajaran lagi. Malam pun nak keluar.”

“Ala ibu ni. Kasilah kebebasan sikit pada Rina. Rina bekerja seharian, tension dengan kerja-kerja di pejabat, malam Rina nak release tension sikit pun tak boleh. Masa inilah Rina nak lepak dengan kawan-kawan Rina. Duduk di rumah pun bukan boleh buat apa.”

“Tak boleh buat apa Rina cakap? Ibu dekat rumah ni Rina ingat tunggul ke? Sudahlah siang hari kita sama-sama keluar bekerja. Malam sajalah masa untuk ibu berbual dengan Rina. Kalau Rina keluar, dengan siapa ibu nak berbual? Lainlah kalau Maria ada…”

“Ibu, Rina bukan keluar setiap malam. Dalam seminggu berapa malam saja Rina keluar. Bila Rina ada di rumah kita berboraklah.”

“Bila masanya Rina ada di rumah? Kalau ada di rumah pun Rina lebih suka memerap dalam bilik. Bila ibu panggil, Rina kata sedang mentelaah. Bila tak mentelaah, Rina asyik keluar rumah. Ibu tengok Rina semakin rajin melayan lelaki. Kalau ibu tahu nak jadi macam ni, ibu paksa Rina masuk ke IPTA macam Maria.”

“Ah ibu ni! Asyik-asyik nama Mar saja yang ibu sebut. Semua yang baik tu Mar saja. Kalau yang jahat tu, Rina. Apa, Rina ni bukan anak ibu? Tak ada langsung kebaikan ke pada diri Rina ni?”

“Bukan ibu membandingkan Rina dengan Mar tapi perangai Rina semakin melampau. Baik Rina mahu pun Mar tetap anak ibu. Ibu tak bezakan kasih sayang yang ibu curahkan. Cuma ibu berharap Rina dapat menjadi seperti Mar. Jangan selalu sangat keluar malam. Sudahlah keluar malam, dengan lelaki pula tu. Kalau dilihat jiran tetangga, apa pula kata mereka nanti?”

“Jiran tetangga? Pedulikanlah apa yang mereka nak kata! Kita hidup selama ni bukan mereka yang kasi kita makan! Lagipun ibu, kita ni duduk di apartment. Di sini tiada sesiapa yang sibuk nak ambil tahu tentang jiran tetangga. Semua mahukan privacy. Kalau mereka buat maksiat pun bukan kita tahu! Mar tu jauh dari kita, ibu. Ibu tahu ke apa yang dia buat di sana? Dia bukan berada di hadapan ibu dan kalau dia buat jahat pun ibu takkan tahu. Mungkin di hadapan ibu saja dia berlagak baik tapi di belakang ibu dia lebih teruk dari Rina.”

“Rina!! Tak baik Rina cakap Mar macam tu. Ibu tak suka kalau Rina main tuduh-tuduh Mar begitu!”

“Sudahlah ibu… Rina dah terlambat ni. Nanti kawan Rina tunggu pula. Ibu tak payah tunggu Rina. Rina ada kunci sendiri. Jangan risau, Rina takkan balik lewat. Sebelum pagi Rina akan balik ke rumah.”

“Rina!!”

Zahratul Marina berjalan terus menuju ke pintu dan menghilang dari balik daun pintu yang terbuka luas. Puan Maziah mengeluh perlahan. Zahratul Marina semakin sukar untuk dibentuk sekarang. Walau berbuih mulutnya menegur dan memarahi segala tindak-tanduk Zahratul Marina, tetapi segalanya umpama mencurah air ke daun keladi. Tidak sedikit pun apa yang ditegurnya diambilkira oleh Zahratul Marina.

Secalit Tinta Seuntai Kata - aku bukanlah terlalu pemurah untuk menghadiahkan setiap patah kata dan ayat dalam novelku ini. tetapi aku masih mahu berkongsi bab-bab tertentu dengan sesiapa sahaja yang melawat blog ini... berikan aku kritikan agar aku bisa memperbaiki diriku untuk menjadi lebih baik dari hari ini...