--''''>>--sEBuTir bINt@nG Di kAKi pELAnGi--<<'''--||

Aku masih bisa berlari, aku masih bisa mendaki pelangi, walau tanpa engkau di sisi, akan aku teruskan hidup ini... Usahlah engkau gundah tentang perasaanku, setelah engkau melangkah pergi, pedih ini akan bisa sembuh, bila saja terbit mentari... ~apabila engkau jauh dariku terasa engkau hampir padaku, namun mengapa apabila engkau di sampingku terasa seakan engkau menjauhiku?~



Friday, May 11, 2007

Warkah Buat Zahra - Bab Dua Puluh Tiga

Sudah sepuluh minit jarum jam melewati pukul dua petang. Puan Maziah menyedut air lemon yang berada di dalam gelas. Sekali sedutan sahaja sudah cukup untuk mengosongkan separuh dari isi gelas tersebut.

Cuaca yang panas memaksanya agar terus berada di dalam restoran itu. Bukan dia mahu sangat berada lama-lama di situ tetapi apabila mengenangkan janji yang telah diberi sejak seminggu yang lalu, dia masih bertahan.

Wajah yang ditunggu masih tidak muncul-muncul. Puas berkalih duduk kerana punggungnya sudah berkematu dirasakannya, Puan Maziah sudah mula hilang sabar.

Janji yang dimeterai sudah pun lebih dari setengah jam berlalu. Pada mulanya dia tidak berada kisah sangat kerana mungkin kesesakan lalu lintas yang menyebabkan orang yang ditunggunya itu lambat sampai. Sementelah pula, pesanan ringkas sudah diterima sebaik sahaja waktu pertemuan dicecah oleh jarum jam.

Pun begitu, itu bukan bermakna dia akan sanggup menunggu sehingga restoran itu ditutup. Dia bukannya patung wanita yang memegang obor yang sanggup berdiri tegak di situ menanti orang ramai melihatnya. Dia juga bukanlah seorang malaikat yang suci hatinya apabila diuji dengan ujian seperti itu. Dia hanya manusia biasa. Manusia yang pasti ada sifat baik dan buruknya.

Penantian itu menjemukan! Dia tidak sanggup menunggu kalau orang yang ditunggu tidak tahu apa itu erti waktu! Separuh lagi air lemon diteguk rakus. Tekaknya semakin kering, tubuhnya semakin panas sedangkan hawa dingin di dalam restoran itu boleh menghalang titis-titis peluh dari memercik ke dahi.

Sebaik sahaja dia mahu mengangkat punggung untuk meninggalkan restoran itu, wajah yang ditunggu selama hampir satu jam muncul dengan senyuman yang dibuat-buat. Hampa hatinya apabila terlihatkan wajah itu.

“Aku baru lambat setengah jam engkau dah panas punggung? Waktu nak mengurat laki aku dulu engkau boleh pula bersabar selama tiga tahun, kan? Tak panas pula punggung engkau!”

“Jaga mulut tu sikit, Kak Hana.”

“Kenapa pula aku nak kena jaga mulut aku? Bukan betul ke apa yang aku cakapkan tadi? Jangan nak berpura-pura jadi malaikat pula, Maz. Aku ni kenal engkau bukan baru sehari dua.”

“Maz tak seperti yang Kak Hana kenal. Kak Hana tak pernah nak cuba kenal Maz. Jadi, macam mana Kak Hana kata Kak Hana kenal siapa Maz?”

“Aku takkan benarkan engkau berkahwin dengan laki aku!”

Tegas kata-kata Farah Hana. Puan Maziah hanya menyandar penuh tenang. Tidak sedikit pun dia merasa tergugat dengan ketegasan itu. Seolah-olah kata-kata itu bukan ditujukan kepadanya.

“Engkau dengar tak apa yang aku cakapkan ni?”

“Kak Hana, kalau disebabkan hal ni yang sampai Kak Hana sibuk nak berjumpa dengan saya, rasanya saya hanya membuang masa saja. Lebih baik saya siapkan kerja-kerja saya di rumah tu.”

“Engkau ni sengaja nak sakitkan hati aku ke?”

“Apa pula sakitkan hati? Saya cakap yang benar. Kenapa Kak Hana ni tak habis-habis sakit hati dengan saya? Apa salah saya pada Kak Hana? Tak cukup lagi ke apa yang Kak Hana dah buat pada keluarga saya selama ni?”

Puan Farah Hana ketawa apabila melihat Puan Maziah mula menaikkan suaranya. Provokasi nya menjadi. Dia memang sengaja mahu melihat wanita itu marah.

“Engkau tanya aku apa yang aku tak puas hati dengan engkau? Engkau ni dah hilang ingatan ke? Atau engkau ni ada penyakit pelupa? Engkau dah lupa apa yang engkau buat pada aku dulu? Engkau ingat sewenang-wenangnya aku akan lupakan apa yang engkau dah buat dulu?”

“Saya tak pernah mengganggu hidup Kak Hana sekeluarga walau pun selepas Kak Hana rampas Abang Zahari dari hidup kami dulu. Saya biarkan Kak Hana hidup bahagia walau pun saya terpaksa hidup sendirian membesarkan anak-anak saya.”

“Engkau cakap baik sikit! Biar pula aku yang merampas Zahari dari engkau? Engkau dah lupa engkau yang rampas dia dari hidup aku?”

“Kak Hana, saya tidak pernah merampas Abang Zahari dari Kak Hana. Saya berkahwin dengan Abang Zahari selepas Kak Hana bercerai dengan Abang Zahari. Tak ada istilah merampas langsung! Kak Hana yang merampas Abang Zahari dari tangan saya apabila Kak Hana berkahwin semula dengan dia.”

“Dasar perempuan tak sedar diri! Engkau ingat aku tak tahu engkaulah penyebab rumah tangga aku musnah dulu? Engkau memang sengaja tunggu masa sampai Zahari jatuh cinta pada engkau dan engkau hasut dia untuk ceraikan aku!

Engkau memang dah lama berdendam dengan aku sebab berkahwin dengan Zahari sedangkan engkau sudah lama menyimpan perasaan pada Zahari, kan? Sebab itu engkau tunggu saja masa untuk hancurkan rumah tangga aku!”

“Astaghfirullahal ‘azim, Kak Hana! Tak pernah terlintas pun dalam hati saya untuk buat macam tu pada Kak Hana. Kalau betul saya menyimpan perasaan pada Abang Zahari, saya takkan lepaskan Abang Zahari berkahwin dengan Kak Hana dulu. Saya akan penuhi impian arwah ayah Abang Zahari untuk menjadi isteri dia! Tak payah susah-susah melihat dia berkahwin baru saya terhegeh-hegeh nakkan dia!”

“Jangan nak jadi malaikat pula, Maz! Aku bukan tak kenal engkau tu! Dari awal lagi aku dah dapat agak yang engkau sebenarnya memang tak sukakan hubungan aku dan Zahari. Dari waktu Zahari mula-mula bawa aku berjumpa engkau dulu aku dah tahu yang engkau cemburukan kami berdua.”

“Buang masa saya saja datang ke sini, Kak Hana!”

Puan Maziah sudah mahu angkat punggung. Dia tidak mahu berada lebih lama lagi di situ untuk bertekak dengan Puan Farah Hana tentang hal yang tidak sepatutnya ditengkarkan. Dia tidak mahu luka lama berdarah semula. Dia sudah muak dengan segala perbuatan Puan Farah Hana padanya.

“Engkau jangan nak lari, Maz! Aku belum habis bercakap dengan engkau lagi!”

“Saya tak mahu bergaduh dengan Kak Hana. Ini public area, Kak Hana. Malu kalau orang dengar kita bertengkar, lebih-lebih lagi kerana berebutkan seorang lelaki.”

“Waktu berebutkan suami aku, engkau tak malu. Waktu aku ajak engkau berbincang di sini, tahu pula engkau malu!”

“Ini bukan berbincang. Ini namanya sengaja nak cari gaduh! Tak pernah orang berbincang dengan meninggikan suara, Kak Hana. Saya ni bukannya anak kecil yang Kak Hana boleh gula-gulakan. Dengar sini Kak Hana, sekali lagi saya cakap, saya tak merampas Abang Zahari dari tangan Kak Hana. Kami berkahwin selepas Kak Hana dan Abang Zahari bercerai. Abang Zahari datang kepada saya selepas setahun Kak Hana bercerai dengan Abang Zahari.”

“Tapi sebelum itu engkau dah menggoda dia!”

“Ya ALLAH, bawa mengucap Kak Hana! Bila masanya saya berjumpa dengan Abang Zahari sampai Kak Hana boleh kata yang saya menggoda dia? Selepas Kak Hana berkahwin dengan Abang Zahari, saya bawa diri ke utara. Saya tak berhubung dengan Abang Zahari kecuali pada hari raya. Itu pun melalui telefon. Jadi, macam mana Kak Hana boleh kata yang saya menggoda Abang Zahari?”

Tiada penipuan di dalam kata-katanya. Puan Maziah menyatakan sesuatu yang benar. Dia tidak pernah mencari Zahari sebaik sahaja lelaki itu berumah tangga dengan Puan Farah Hana. Dia tahu kedudukan Encik Zahari.

Sebaik sahaja Encik Zahari dan Puan Farah Hana berkahwin, dia membawa diri ke Alor Star. Dia sengaja memilih untuk bekerja di sana kerana tidak boleh duduk di tempat tinggalnya bersama Encik Zahari.

Segala kenangan sewaktu zaman persekolahan mereka sering bermain di ingatannya. Dia tidak mahu berada lebih lama lagi di Kuala Lumpur kerana setiap apa yang berlaku kepadanya meninggalkan kenangan yang terlalu sukar untuk dilupakan.

“Jangan berpura-pura lagi, Maziah! Aku dah cukup muak dengan sikap bermuka-muka engkau ni.”

“Suka hatilah, Kak Hana. Saya tak ada hak untuk menghalang Kak Hana berprasangka begitu. Cukuplah kalau saya katakan saya dah terlalu terluka selama ini.”

“Aku nak beri amaran pada engkau, jangan terima lamaran Zahari! Kalau aku tahu engkau terima juga lamaran dia, aku akan pastikan hidup engkau tak aman sampai ke mati.”

“Tak guna Kak Hana ugut saya begini. Saya bukan budak kecil yang takut pada ugutan orang lain. Saya tahu macam mana nak jalani hidup saya. Lagipun, saya punya hak untuk tentukan apa yang saya nak lakukan. Tak perlu campur tangan dari Kak Hana.

Kalau benar ALLAH SWT dah tentukan jodoh saya panjang dengan Abang Zahari, saya tetap akan berkahwin dengan dia walau apa pun yang Kak Hana buat pada saya. ALLAH Lebih Mengetahui, Kak Hana.”

“Engkau jangan mencabar aku, Maz! Aku sanggup buat apa saja asalkan Zahari tak kembali pada engkau!”

“Buatlah, Kak Hana. Buatlah apa yang Kak Hana rasa Kak Hana nak buat. Saya tak ada masa nak ambil tahu tentang semua ni. Selama ni, tanpa Abang Zahari pun saya dan anak-anak tetap hidup bahagia juga. Tanpa kasih sayang Abang Zahari, anak-anak saya tetap menjadi seorang manusia juga. Mereka tak perlukan kasih sayang seorang ayah sekarang kerana mereka dah dapat kasih sayang yang cukup dari saya.

Tapi saya tak boleh menolak takdir. Macam yang saya katakan pada Kak Hana tadi, kalau ALLAH SWT dah tetapkan jodoh saya dengan Abang Zahari, saya tak mampu menolak.

Jangan salahkan saya kalau Abang Zahari kembali kepada saya untuk kali yang kedua. Saya tak pernah cari dia, tapi dia yang mencari saya. Jadi, lebih baik Kak Hana selidik apa yang tak kena di dalam perhubungan Kak Hana dan Abang Zahari sehingga dia sanggup mencari saya untuk membahagiakan hidupnya.

Jangan hanya tahu nak menyerang saya. Saya pun ada maruah juga. Saya pun ada batas kesabaran saya sendiri. Bukan Kak Hana seorang saja yang tahu marah. Tapi saya masih boleh bersabar sehingga kini. Cuma, satu yang saya nak ingatkan Kak Hana, jangan ganggu hidup saya lagi.

Saya tak pernah mengganggu hidup Kak Hana selama lima belas tahun ni. Jadi, biarkan saya hidup aman damai dengan keluarga saya.”

“Celupar betul mulut engkau!!! Aku akan buat hidup engkau merana kalau engkau kahwin dengan Zahari, Maz!!!”

Tanpa menghiraukan jeritan Puan Farah Hana, Puan Maziah berjalan keluar dari restoran itu. Dia sudah tidak mahu melayan perangai gila Puan Farah Hana. Dia sudah lelah memikirkan cara untuk bersabar dengan kerenah perempuan seperti itu.

Puan Farah Hana menghempas gelas ke atas meja lalu berlalu keluar dari restoran.

“Puan!! Puan!! Duit minuman belum berbayar lagi.”

Jeritan itu tidak diendahkan oleh Puan Farah Hana. Hatinya yang sakit melebihi segala-galanya.

Satu Kehilangan, Satu Anugerah, Satu Nikmat, Satu Keperitan

assalammualaikum...
sudah terlalu lama aku tinggalkan jurnal penulisan ni. dua bulan! macam2 berlaku sepanjang dua bulan kebelakangan ni. bukan aku tak mahu menulis, tapi aku tak sempat untuk menulis! sungguh! kalau boleh aku buat permintaan, memang aku akan minta agar jarum jam 24 jam akan ditambahkan lagi menjadi 30 jam agar aku dapat menyelesaikan segala rutin harian aku!


Satu kehilangan
aku baru sahaja kehilangan dua orang sahabat; seorang kakak dan seorang abang! kalau korang semua baca surat khabar atau tgk berita di tv, korang mesti tau siapa yang aku maksudkan (pd teman2 aku lah...). aku masih lagi dlm keadaan tak boleh terima hakikat. hmmm... tunggu aku cool dulu, baru aku akan buat entri pasal ni!

Satu Anugerah
insyaALLAH, mungkin dlm masa terdekat ni aku akan menimang cahaya mata terbaru (bkn novel kedua aku. ah, jangan disebut pasal novel sekarang!). adik aku sekarang ada di hospital sedang menunggu masa untuk bersalin. cucu keempat untuk abah ngn mak aku, anak keempat untuk adik aku n hubby, abang aku n sis in law dan juga aku! xsabar aku nak ajar dia sebut UMMI! heheheheh.....

Satu Nikmat
alhamdulillah... biz aku ngan partner semakin ligat. ada saja order dari orang ramai setiap minggu. sampai tak menang tangan dibuatnya! ditambah pula dengan kwn2 lama sekolah aku dulu! harap2 biz ni berpanjangan dan semakin maju, ameennn....

Satu Keperitan
terlalu payah untuk meluahkan apa yang terbuku di hati. kadang2 terasa macam mahu menyeberang lautan dan berlabuh di pantainya untuk menghamburkan segala-galanya. atau pun, mendaki gunung yang tinggi (larat ke aku?) dan menjerit dari puncaknya! tapi sampai kini, yang aku mampu lakukan hanyalah memendam segalanya dalam hati! hai hati... harap2 engkau bisa berdiri teguh untuk menampung segala luahan yang tak terlafaz...

Nota Penaja : Gambar sewaktu pergi Secretaries' Week Special with Ziana Zain