--''''>>--sEBuTir bINt@nG Di kAKi pELAnGi--<<'''--||

Aku masih bisa berlari, aku masih bisa mendaki pelangi, walau tanpa engkau di sisi, akan aku teruskan hidup ini... Usahlah engkau gundah tentang perasaanku, setelah engkau melangkah pergi, pedih ini akan bisa sembuh, bila saja terbit mentari... ~apabila engkau jauh dariku terasa engkau hampir padaku, namun mengapa apabila engkau di sampingku terasa seakan engkau menjauhiku?~



Thursday, February 15, 2007

Warkah Buat Zahra - Bab Lapan Belas


“Janganlah macam ni, Rina! Engkau tahu tak apa yang engkau dah buat selama ni?”

Zahratul Marina merengus kuat. Genggaman tangan Sahak menyakitkan pergelangan tangannya. Bukan sahaja pergelangan tangannya, tetapi hatinya jugak sakit disebabkan perbuatan Sahak itu. Segera dia menarik tangannya.

“Sampai bila engkau nak jadi macam ni, Rina? Engkau tahu ke tidak tentang dosa pahala?”

“Jangan nak jadi ustaz pula dengan aku, Sahak!”

“Aku bukan nak jadi ustaz! Aku cuma nak menyedarkan engkau saja. Engkau dah semakin jauh tersimpang, Rina. Kembalilah ke pangkal jalan!”

Zahratul Marina ketawa galak mendengar nasihat Sahak. Dia ketawa bersungguh-sungguh. Nasihat itu benar-benar menggeletek hatinya. Tanpa menghiraukan orang ramai yang sedang memerhatikannya, Zahratul Marina masih ketawa terbahak-bahak.

“Tak payah buang air liur engkau untuk nasihatkan aku, Sahak. Membuang masa saja. Daripada engkau cuba nasihat aku, rasanya lebih baik engkau tengok dulu diri engkau tu macam mana. Engkau tu pun bukannya sempurna sangat! Sama je dengan aku.

Engkau ingat aku tak tahu engkau tu jenis yang macam mana? Mat rempit, kaki nombor ekor! Dosa engkau tu kalau ditimbang sama saja beratnya dengan dosa aku, engkau tahu tak?”

“Rina, engkau jangan melampau pula!”

“Kenapa? Engkau ingat aku ni bodoh? Engkau cemburu sebab engkau tak dapat aku, kan? Engkau cemburu bila tengok aku berkepit dengan semua lelaki yang boleh beri aku segala-galanya, apa-apa saja yang aku mahu sedangkan engkau tak mampu untuk beri apa-apa pada aku! Betul tak?”

“Aku bukan buruk nafsu macam yang engkau cakap! Aku bukan kemaruk nak tubuh engkau macam lelaki-lelaki kaya tu buat pada engkau! Aku sayangkan engkau dengan ikhlas! Aku tak pernah sekali pun cuba ambil kesempatan pada engkau!”

“Lelaki!!” Rengusan Zahratul Marina semakin kuat.

“Rina, dengar dulu apa yang aku nak cakapkan.” Sahak memegang tangan Zahratul Marina.

“Lepaskan tangan aku, bodoh! Sakit, engkau tahu tak?”

Sahak menurut. Dia tahu, tiada gunanya dia menggunakan kekerasan terhadap Zahratul Marina kerana dia tahu itu hanya akan membuatkan Zahratul Marina semakin menjauhinya.

“Aku tahu, memang aku ni jahat. Aku mat rempit, aku main nombor! Tapi aku tak pernah merosakkan anak dara orang. Sejahat-jahat aku, belum pernah lagi aku bergaul dengan bohsia!”

“Sebab engkau tak pernah dapat! Cuba kalau engkau dapat? Kalau aku berbogel depan engkau sekarang pun aku rasa engkau pasti nak merasa walau pun sedikit, kan? Kalau tak dapat pegang, sekurang-kurangnya engkau nak juga menjamu mata, kan? Kalau dapat cuit sikit pun engkau akan puas hati, betul tak?”

“Engkau jangan menuduh aku yang bukan-bukan, Rina! Sikit pun aku tak pernah terlintas sejauh itu!”

Zahratul Marina bangun dan menuju ke keretanya. Sahak menurut dari belakang. Dia tidak boleh membiarkan Zahratul Marina berlalu dari situ sebelum gadis itu mendengar apa yang mahu diperkatakannya.

Pintu kereta dihempas sebaik sahaja dia melabuhkan punggung di sebelah Zahratul Marina. Wajah bercalit solekan tebal itu diperhatikannya agak lama.

Pantas tangan putih melepak Zahratul Marina menghidupkan enjin kereta dan melarikan keretanya di dada jalanraya yang agak sesak hari itu. Sahak yang berada di sebelahnya tidak dihiraukan. Rasa menyesal menyelinap ke dalam hatinya kerana bersetuju dengan cadangan Sahak untuk keluar makan bersama tengahari itu.

“Rina, ada banyak perkara yang aku nak beritahu pada engkau.”

“Tak perlu, Sahak. Aku tak perlu dengar apa-apa sahaja dari mulut engkau. Engkau tak ada hak untuk berkata apa-apa pada aku, tak ada hak untuk komen apa yang aku buat selama ini dan tak ada hak untuk tentukan apa yang perlu aku lakukan dalam hidup aku ni!

Aku tak suka engkau masuk campur dalam urusan peribadi aku. Selama ini aku hanya anggap engkau sebagai kawan, tak lebih dari itu. Jangan perasan yang aku ni menaruh hati pada engkau atau aku akan membenarkan engkau mencintai aku!”

“Aku bukan nak mengatur kehidupan engkau, Rina! Aku hanya mahu engkau membetulkan segala kesilapan yang telah engkau lakukan dan kembali ke pangkal jalan. Itu saja! Niat aku ikhlas. Kalau pun engkau tak pernah cintakan aku, tapi aku cintakan engkau! Aku sanggup terima engkau walau pun engkau bukan dara lagi! Aku sanggup selamatkan engkau dari dunia gelap yang engkau lalui sekarang!”

Larian kereta Zahratul Marina menurun. Dia memandang ke wajah Sahak. Aura amarah membuak-buak di dalam hatinya. Mahu sahaja dia menampar pipi berjerawat milik lelaki itu kalau tidak mengenangkan yang dia sedang memandu kereta sekarang.

“Dunia gelap ke, dunia terang ke, ini dunia aku! Yang engkau sibuk kenapa? Kalau aku mati pun, aku tak heret engkau masuk dalam lubang kubur bersama-sama aku, tahu tak? Bila aku nak bertaubat, itu aku punya pasal! Aku tak perlukan engkau sebagai pelindung aku! Aku tak perlukan pertolongan engkau!

Sanggup selamatkan aku konon! Cermin sikit muka engkau tu, Sahak! Engkau sedar tak apa yang engkau cakapkan sekarang? Engkau sanggup lakukan apa saja untuk aku? Engkau sanggup bayarkan duit hutang kereta aku ni tiap-tiap bulan? Engkau sanggup belikan aku emas berlian setiap bulan? Engkau sanggup bawa aku makan di hotel-hotel lima bintang? Engkau sanggup bergadai nyawa untuk aku? Sanggup bawa aku melancong ke merata dunia bila-bila saja yang aku mahu?

Engkau ni hidup pun sekadar cukup makan. Mana engkau mampu nak lakukan semua tu untuk aku! Bangunlah Sahak!! Engkau tu dah terlalu lama tidur. Siap dengan bermimpi yang indah-indah lagi padahal apa yang engkau mimpikan tu takkan menjadi kenyataan!”

“Jangan menghina aku, Rina! Walaupun aku ni tak kaya, tapi aku masih ada maruah! Jangan sedap-sedap mulut engkau saja mahu mengata aku sesuka hati engkau!”

Sahak sudah mula panas hati apabila Zahratul Marina semakin galak mempersendakan maruahnya. Dia sakit hati kerana Zahratul Marina sengaja mempertikaikan niat ikhlasnya untuk membawa gadis itu keluar dari neraka ciptaannya sendiri.

“Maruah?? Apa guna ada maruah kalau tak ada duit, Sahak? Kalau pun engkau punya maruah yang terlalu mulia, tapi engkau tak ada duit, orang tetap tak pandang engkau juga! Duit, Sahak! DUIT!! Dunia hari ini terlalu materialistik! Kalau engkau ada banyak duit, bukan maruah saja engkau boleh beli! Dunia ni pun engkau boleh beli, tahu tak??”

“Astaghfirullahal ‘azim… Engkau dah semakin jauh tersasar, Rina. Aku tak sangka engkau terlalu mudah berubah. Dari seorang gadis yang baik, bersopan santun, sekarang ni engkau dah menjadi seorang gadis yang terlalu tamakkan harta dunia dan mendekati syaitan!

Baru aku sedar, aku bukan orang yang layak untuk menyedarkan engkau tentang segala kesalahan yang engkau dah lakukan selama ni. Ikhlas aku katakan, aku berdoa agar ada insan yang dipilih oleh ALLAH untuk membantu engkau menebus dosa-dosa yang engkau dah lakukan.”

Zahratul Marina tidak menjawab kata-kata Sahak itu. Hatinya tiba-tiba menjadi sebu. Bukan kerana dia terasa hati dengan kata-kata Sahak tetapi doa Sahak untuknya itu yang membuatkan dia secara tiba-tiba merasakan bahawa Sahak ikhlas mahukan dia berubah. Sahak yang pada pandangan matanya adalah seorang yang sengkek, hari ini cuba menunjukkan sikap alimnya dengan memanjatkan doa untuknya!

Kereta Zahratul Marina membelok memasuki ruang parkir bawah tanah bangunan Wisma Salam itu. Segera pula dia menyuruh Sahak keluar dari kereta sebelum dia meneruskan perjalanan ke bahagian parkir kakitangan pejabatnya.

Dia tidak mahu orang lain tahu bahawa dia keluar dengan Sahak sebentar tadi. Dia tidak mahu berita itu sampai ke telinga Dato’ Jalal. Dia tidak mahu ada yang beranggapan bahawa dia menggunakan Sahak selama ini sedangkan itulah hakikatnya!

“Aku nak beri ingat pada engkau, Rina. Jaga-jaga sikit dengan Suzie. Jaga-jaga juga dengan Fitri. Aku rasa dia tak ikhlas pada engkau. Aku dapat rasa yang dia hanya mempergunakan engkau untuk menjatuhkan Dato’ Jalal.”

“Sahak, sebenarnya aku tak memerlukan nasihat daripada engkau tapi aku ucapkan terima kasih banyak-banyaklah sebab engkau terlalu prihatin pada aku. Tak payahlah nasihatkan aku lagi. Aku pun bukan budak kecil lagi. Oh iya! Ada satu lagi pesanan aku nak beri pada engkau ni. Aku rasa, biarlah ini pertemuan kita yang terakhir. Aku tak mahu engkau masuk campur lagi dalam urusan peribadi aku.

Aku dah punya terlalu ramai lelaki dalam hidup aku. Aku tak perlukan tambahan seorang lagi lelaki lebih-lebih lagi engkau! Mulai dari hari ni, engkau teruskan hidup engkau dengan cara yang engkau suka dan biar aku tentukan perjalanan hidup aku. Jangan risau, sampai masanya nanti aku akan bertaubat. Aku akan beritahu engkau nanti, ya!”

Sahak terkedu. Belum sempat dia mahu membalas kata-kata Zahratul Marina, gadis itu sudah memecut keretanya. Sahak berdiri tegak di situ. Dia tidak menyangka Zahratul Marina sanggup berkata demikian.

ZAHRATUL MARINA menghenyak punggung ke kerusi. Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata Sahak di telinganya. Dia hairan mengapa Sahak tiba-tiba mengambil berat tentang dirinya. Mengapa baru sekarang Sahak mengutarakan semua itu?

Adakah Sahak benar-benar cintakan dia? Ataupun, kerana sekarang dia sudah punya banyak wang? Atau, bukan kerana Sahak ada udang di sebalik batu?

Zahratul Marina menyandarkan badannya ke kerusi. Dia memicit-micit dahinya yang sesekali berkerut apabila wajah Sahak bermain di matanya.

Atas alasan apa Sahak perlu berterus-terang dengannya? Mengapa Sahak bertindak demikian? Apa maksud Sahak dengan berhati-hati terhadap Suzie dan juga Fitri? Adakah Sahak mengenali siapa Suzie? Adakah Sahak tahu apa yang dia tidak tahu selama ini?

Kalau benar Sahak mencintainya dan ikhlas memberitahunya tentang Suzie dan Fitri, mengapa baru sekarang? Mengapa tidak dari dahulu lagi? Sejauh mana keikhlasan Sahak?

Merenung wajahnya ke dalam cermin yang memang sentiasa ada di atas meja, Zahratul Marina meraut keningnya dengan lembut. Wajah lembut manja miliknya itu sudah terbiasa dengan gaya hidup mewah. Sudah sesuai dengan barang-barang kemas, kereta-kereta mewah, makanan-makanan mahal… Adakah dia sanggup menerima cinta Sahak dan meninggalkan semua yang dimilikinya sekarang?

Menggeleng kepalanya seketika. Dia tidak sanggup! Tidak sanggup untuk meninggalkan semua kekayaan dan kemewahan itu demi satu jalinan cinta yang berlandaskan keikhlasan dan kejujuran! Tidak mungkin semua itu akan terjadi kerana dia akui, dia adalah seorang wanita yang mata duitan.

Dia tidak kisah jika selama ini Dato’ Jalal memeluknya disebabkan nafsu. Dia tidak kisah jika Fitri menguliti dirinya disebabkan persaingan dengan Dato’ Jalal. Dan, dia juga tidak akan kisah tubuhnya diperdagangkan untuk tujuan perniagaan dan pembelotan kerana setiap satu dari pengorbanannya itu dibayar dengan harga yang mahal! Bukan secara percuma!

Zahratul Marina menganggukkan kepalanya beberapa kali. Benar! Dia tidak pernah menyesal di atas semua yang telah terjadi. Dia tidak akan melangkah ke belakang untuk meneliti sejarah-sejarah hitamnya dan menangisi setiap kesalahan dan kesilapan yang telah dilakukannya.

Mungkin benar, satu hari nanti akan muncul seorang lelaki yang boleh membimbing dirinya untuk kembali ke pangkal jalan. Mungkin juga doa ikhlas Sahak akan dimakbulkan oleh ALLAH SWT satu hari nanti. Dia akan menunggu. Menunggu kehadiran hari di mana dia akan ditarik keluar dari neraka nafsu ini. Tapi yang pasti, sekarang bukanlah masanya…

Penantian Itu Satu Penyeksaan

Rasanya macam terlalu lama dah aku tak pergi berjalan-jalan (padahal baru je pergi shopping sakan di Bangkok dan bermandi-manda di Sailor's Rest, Janda Baik!)

Aku terlalu rindukan udara pantai yang melagukan namaku. Aku rindukan deruan ombak yang membelah kesunyian pantai di kala senja. Aku rindukan kicauan burung yang berterbangan di permaidani langit....

Aku rindukan Awana Kijal!

Terasa lambat sungguh masa berlalu. Tinggal sehari sahaja lagi... Sabarlah hati...