--''''>>--sEBuTir bINt@nG Di kAKi pELAnGi--<<'''--||

Aku masih bisa berlari, aku masih bisa mendaki pelangi, walau tanpa engkau di sisi, akan aku teruskan hidup ini... Usahlah engkau gundah tentang perasaanku, setelah engkau melangkah pergi, pedih ini akan bisa sembuh, bila saja terbit mentari... ~apabila engkau jauh dariku terasa engkau hampir padaku, namun mengapa apabila engkau di sampingku terasa seakan engkau menjauhiku?~



Friday, May 12, 2006

Warkah Buat Zahra - Bab Enam

Tergesa-gesa Zahratul Marina pagi itu. Dia sudah terlewat hampir setengah jam. Terkocoh-kocoh dia mencari pakaian di dalam almari dan menyarung ke badan. Serentak itu juga dia mencapai tas tangan yang bergantung di tepi katil. Habis berselerak biliknya. Bantal yang terjatuh ke lantai dibiarkan begitu sahaja.

Sambil memulas tombol pintunya, dia sempat melirik jam di tangan. Alamak, sudah pukul lapan pagi! Mampuslah aku hari ni. Masuk kali ni, sudah tiga kali aku terlambat ke pejabat! getus hati kecilnya.

“Ibu, Rina pergi dulu!!” Zahratul Marina menjerit sambil tangannya sibuk mengatup kunci kasutnya. Tiada sahutan. Sekali lagi Zahratul Marina mengeluh keras.

“Setan!” Terkeluar kata-kata itu dari mulutnya. Dia terlupa bahawa Puna Maziah sudah pergi kerja terlebih dahulu darinya pagi itu. Mahu tak mahu, terpaksa dia masuk kembali ke dalam rumah dan mencapai kunci untuk mengunci pintu.

“Shit!!” Sekali lagi, seranah keluar dari mulutnya. Kakinya hampir sahaja terpelecok kerana mahu cepat meninggalkan rumah.

Sebaik sahaja dia sampai di ruang parkir, punat alarm kereta ditekan dan dia memboloskan diri masuk ke dalam perut kereta. Dihenyakkan punggung ke kusyen kulit lalu anak kunci dimasukkan ke dalam lubang. Beberapa kali dia cuba menghidupkan enjin kereta namun gagal.

“Damn!! Bala apa jadi pada aku pagi ni? Sudahlah terlewat bangun! Kereta pula buat hal! Macam-macam betullah!! Buat sakit hati saja!”

Zahratul Marina membebel seorang diri. Dia tahu, walaupun dia cuba menghidupkan enjin kereta, yang nyatanya kereta masih belum berjaya dihidupkan. Telefon bimbitnya yang berbunyi menyentakkan dia. Segera dibuka tas tangan dan dia mengeluarkan Sambung e730 miliknya.

“Ya, Rina ni.”

“Iyalah, aku tahu aku dah lambat! Bukan aku sengaja. Kereta aku buat hal pagi ni. Ni masih di rumah juga. Tak mahu hidup juga enjinnya.” Zahratul Marina mengeluh. Rakan sepejabat yang menelefon bukan mahu memberi simpati sebaliknya menuduh dia sengaja mahu masuk lambat ke pejabat.

“Habis tu engkau ingat aku apa? Engkau fikir aku suka nak buang masa dalam kereta aku ni? Engkau ingat aku yang suruh kereta ni buat hal ke? Gunalah kepala otak engkau tu sikit, tak payah menyusahkan aku nak mengajar engkau pula!” Dia sudah mula menengking.

“Sudahlah! Sambungkan aku ke bilik dia. Minta tolong sikit pun tak boleh. Bengap betullah engkau ni!”

Talian disambung ke bilik Dato’ Jalal. Zahratul Marina membetulkan kedudukan kakinya. Sesekali tangannya masih memusingkan anak kunci untuk menghidupkan enjin kereta.

“Ya, Dato’. Rina ni. Ala… bukan Rina sengaja nak datang lambat. Kereta Rina ni buat hal…,” sayu nada suaranya di telefon. Cuba memancing perhatian dan simpati Dato’ Jalal.

“Entah, Rina tak tahu kenapa. Macam mana ni? Kan Rina nak kena datang office juga....”

Rengekan sudah mula kedengaran. Zahratul Marina tahu, lelaki duda beranak dua itu cukup pantang dirayu. Kelemahan Dato’ Jalal memang sudah lama diketahui olehnya. Pantang nampak gadis berdahi licin, senang saja dia akan jatuh cinta.

“Dato’ nak hantar driver datang ambil Rina ke? Tak mengapa ke? Nanti kalau orang di office nampak, macam mana?”

Mahu sahaja dia ketawa terbahak-bahak di talian. Tetapi mengenangkan tumpahan kuah simpati harus ditadah sebaik mungkin, dia mematikan hasratnya. Hanya senyum sumbing menghiasi bibirnya yang bergincu merah menyala itu.

“Okey, Rina tunggu di luar perkarangan apartmen ni. Nanti kalau dah sampai office Rina akan terus masuk ke bilik Dato’ ya! Bye honey…”

Telefon bimbit jenis flip itu dimasukkan kembali ke dalam tas tangan. Zahratul Marina membelek wajahnya di cermin kereta. Maskara yang bersememeh di penghujung mata dikesat dengan tisu. Dia mengeluarkan pula gincu berwarna merah hati lalu mencalit lagi di bibir mongelnya. Biar nyalaan merah itu bisa menggoda setiap mata teruna berhidung belang yang memandangnya.

Zahratul Marina suka apabila ada mata-mata gatal yang mengekori setiap langkahnya. Dia tahu, goyangan punggungnya mampu membuatkan mana-mana lelaki berbaris panjang menuruti ke mana sahaja dia pergi. Jelingan matanya yang sentiasa basah dengan maskara bermacam warna dan pembayang mata yang bersinar boleh membuatkan lelaki-lelaki yang berpampasan dengannya di jalanan menoleh dua tiga kali untuk melihatnya.

Dia keluar dari kereta. Ditutupnya pintu kereta dan punat penggera kereta ditekan. Dia berdiri di situ. Membelek tubuh badannya yang langsing. Dia berpusing ke kiri dan ke kanan untuk mencari kepuasan hati. Sesekali, tangannya membetulkan kemeja ketat yang luas bahagian dadanya. Sengaja pula kolar kemeja itu dikembangkannya lagi demi untuk menampakkan lagi lurah dadanya yang agak menonjol.

Hairband yang tersangkut di kepala dibetulkan juga. Jangan ada sehelai pun rambut yang berjuntaian. Dia mahu kelihatan kemas. Setelah pasti segalanya sempurna, dia melangkah penuh yakin meninggalkan ruang parkir menuju ke pintu masuk utama apartmen kediamannya.


“SORRY dear… nasib baik Dato’ tolong hantar driver datang ambil Rina dekat rumah tadi. Kalau tidak, sampai sekarang pun Rina tak sampai office lagi.”

Tangannya menjalar merayap di dada Dato’ Jalal yang dibaluti kot berwarna kelabu. Dato’ Jalal membiarkan sahaja Zahratul Marina berbuat demikian. Dia senang dengan sikap manja dan prihatin Zahratul Marina kepadanya. Dia tahu, Zahratul Marina sebenarnya lebih mengharapkan wang ringgit yang dimilikinya tetapi dia tidak kisah itu semua. Yang penting, dia berbangga kerana gadis genit seperti Zahratul Marina boleh ‘melekat’ dengannya walaupun disebabkan wang.

“Kenapa dengan kereta you?” Dato’ Jalal memegang tangan Zahratul Marina.

Zahratul Marina membuat wajah sayu memandang Dato’ Jalal. Dia baru sahaja lima bulan bekerja sebagai pembantu peribadi Dato’ Jalal. Sepanjang lima bulan bekerja di bawah jagaan Dato’ Jalal, wajah sayunya seringkali mendapat habuan yang diluar jangkaan. Dan dia tahu, itulah aset penting yang harus digunakan sebaik mungkin.

“Entahlah, Rina pun tak tahu. Kereta tu pun kereta second hand, memang patutlah kalau rosak pun. Lainlah kalau kereta baru…” Sengaja dileretkan kata-kata agar Dato’ Jalal dapat menangkap maksudnya.

Dato’ Jalal tersenyum lebar. Dia tahu maksud yang tersirat di sebalik kata-kata Zahratul Marina itu. Dia maklum sungguh akan keinginan gadis di hadapannya ini. Mungkin benar kereta itu sudah rosak teruk peralatannya, namun yang dapat dilihat sekarang ialah keinginan Zahratul Marina untuk memiliki sesuatu yang lebih berharga. Lagipun, sebagai pembantu peribadi tidak salah rasanya kalau syarikat mengeluarkan sedikit duit untuk membeli kereta baru buat Zahratul Marina, fikirnya sendirian.

“Okey, saya akan keluarkan modal untuk beli kereta baru you. Lunch time nanti kita sama-sama pergi ke mana-mana showroom dan tengok kereta mana yang you berkenan.”

Tangan Dato’ Jalal sudah mula melingkar di pinggang Zahratul Marina pula. Gadis itu ketawa kecil kegelian apabila jemari Dato’ Jalal menjalar di tubuhnya. Dia merapatkan badannya kepada Dato’ Jalal. Hembusan nafasnya terasa di wajah lelaki yang sudah sebaya ayahnya itu.

Dato’ Jalal menarik Zahratul Marina ke dalam pelukannya sedang tangan yang tadinya hanya di pinggang kini mula memainkan peranan untuk turun ke punggung pula. Zahratul Marina membiarkan – seolah merelakan segala perlakuan lelaki itu.

Tarikan nafas Dato’ Jalal bersatu dengan nafsu syaitan yang sudah mula menguasai dirinya. Leher jenjang Zahratul Marina terus-terusan dijamah oleh bibirnya dengan penuh rakus. Zahratul Marina hanya mengeluh kecil menerima setiap perlakuan Dato’ Jalal. Dia tahu, lelaki itu dahagakan belaian seorang wanita dan dia dahagakan wang ringgit dan kemewahan. Situasi yang dipanggil give and take. Sama-sama memberi dan sama-sama menerima.

Ketukan di pintu mematikan larian bibir Dato’ Jalal di leher Zahratul Marina. Segera mereka meleraikan pelukan dan Zahratul Marina membetulkan kedutan bajunya. Dia beralih ke kerusi di hadapan Dato’ Jalal lalu duduk menyilang kaki di situ. Tangannya mencapai pen dan dia berpura-pura mencoret sesuatu di atas sekeping kertas.

“Masuk!”

Berkeriut daun pintu ditolak seseorang. Menjongol kepala Sahak; budak pejabat yang sering menjadi mangsa Zahratul Marina untuk membelikan apa-apa barang untuknya. Merona merah wajahnya apabila melihat Zahratul Marina juga ada di dalam bilik Dato’ Jalal. Perasaan cemburu menguasai dirinya. Mengapa Zahratul Marina harus berlama-lamaan duduk di dalam bilik itu?

Zahratul Marina yang terperasankan perubahan wajah Sahak hanya mengukir senyuman nipis dan kemudian terus memberi tumpuan kepada kertas di atas meja. Dia tahu, ada bara cemburu dari pandangan Sahak. Dia juga tidak mahu Sahak berpaling darinya. Hati Sahak harus dijaga demi untuk kepentingan dirinya sendiri.

“Ada apa, Sahak? Nampak macam ada masalah saja.”

Sahak mengangguk perlahan. Matanya melorot ke arah Zahratul Marina yang masih membatu di situ. Dia agak malu mahu menceritakan masalahnya kepada Dato’ Jalal kerana Zahratul Marina ada di situ.

“Tak mengapa. Ceritakan saja pada saya. Biar Rina dengar sama. Dia kan PA saya.” Seperti memahami apa yang terbuku di hati Sahak, Dato’ Jalal bersuara.

“Err, begini Dato’. Saya perlukan duit sebanyak tiga ribu ringgit untuk membiayai perbelanjaan pembedahan emak saya.”

Tersekat-sekat suaranya memberitahu Dato’ Jalal. Dikerlingnya Zahratul Marina yang masih tunduk. Dato’ Jalal berdehem beberapa kali. Dia tidak suka dengan cara Sahak memandang Zahratul Marina.

“Sakit apa emak kamu tu?”

“Jantung, Dato’.”

“Cukup tiga ribu ringgit tu? Berapa pembiayaan pembedahan tu?”

“Sebenarnya lebih dari itu, Dato’. Dalam lima ribu. Tapi, saya akan pinjam pada orang lain juga. Segan nak minta semua sekali dari syarikat ni. Tak mampu saya nak membayarnya nanti.” Jujur Sahak mengakui.

“Saya beri awak lima ribu. Bayar separuh saja. Lagi separuh tu anggap saja derma dari syarikat. Nanti saya akan minta Rina buatkan surat permohonan dan hantar pada bahagian akaun. Bila awak nak duit ni?”

“Kalau boleh sebelum hari Jumaat ni, Dato’. Sebab pembedahan tu hari Khamis ni.”

“Baiklah, nanti kami akan serahkan duit tunai pada awak. Ada apa-apa lagi?”

Geleng. “Tidak, Dato’. Terima kasih banyak-banyak. Saya keluar dulu.”

Dato’ Jalal cuma mengangguk. Dia sedar, sebelum Sahak melangkah keluar dari biliknya, Sahak sempat menghadiahkan satu jelingan kepada Zahratul Marina dan dia tidak senang apabila melihat semua itu di hadapan matanya.

Dato’ Jalal mengarahkan Zahratul Marina menulis surat untuk dihantar ke bahagian akaun. Sebelum Zahratul Marina keluar dari biliknya sempat pula dia menepuk punggung gadis itu menyebabkan Zahratul Marina ketawa kecil.