--''''>>--sEBuTir bINt@nG Di kAKi pELAnGi--<<'''--||

Aku masih bisa berlari, aku masih bisa mendaki pelangi, walau tanpa engkau di sisi, akan aku teruskan hidup ini... Usahlah engkau gundah tentang perasaanku, setelah engkau melangkah pergi, pedih ini akan bisa sembuh, bila saja terbit mentari... ~apabila engkau jauh dariku terasa engkau hampir padaku, namun mengapa apabila engkau di sampingku terasa seakan engkau menjauhiku?~



Sunday, July 23, 2006

Warkah Buat Zahra - Bab Sebelas


Bab Sebelas

“Astaghfirullahal ‘azim….”

Habib mengurut janggutnya perlahan-lahan. Wajah diraup beberapa kali. Fatah yang masih nyenyak tidur dikerling sejenak sebelum dia bangkit lalu mencapai jam loceng di atas meja dan ditilik jarumnya.

Pukul dua setengah pagi. Kembali jam loceng diletakkan di atas meja dan Habib merebahkan diri ke katil. Fikirannya menerawang mengingati mimpi yang baru sahaja dialaminya di dalam tidur tadi.

Hujan yang pada awalnya lebat turun kini sudah mula reda. Hanya rintik-rintik sahaja yang masih setia terjun membasahkan rumput-rumput di tanah lapang dan mencipta lopak-lopak keruh di jalanan.

Puas berkalih baring, Habib duduk di atas katil. Mimpi itu terlalu menggerunkan! Dia tidak sanggup menyambung tidurnya demi untuk tidak mahu mimpi tersebut berulang lagi. Dibeliakkannya mata walaupun sebenarnya keletihan mata masih bermaharajalela.

“ALLAHU AKBAR!”

Dalam hening dinihari itu, dia mengeluh perlahan. Mata harus dipaksa agar terus terbuka. Dengkuran Fatah sesekali kedengaran. Terasa pedih di hati kerana cemburukan Fatah yang tidak mengalami mimpi yang baru menghantui dirinya kini.

Dalam beristighfar, dia bangun meninggalkan bilik lantas pergi mengambil wudhu’. Hatinya terasa bercelaru. Fikirannya tak keruan. Dia tahu, dalam keadaan seperti ini, dia harus mendekatkan diri dengan Penciptanya. Segalanya harus diadukan kepada Yang Mutlak.

Usai mengambil wudhu’, dia membentang sejadah dan mengangkat takbir untuk memulakan solat sunat tahajjud. Sebaik takbiratul ikhram dilafazkan, dia tenggelam dalam alunan ayat al-Quran yang dilagukannya. Hilang segala gundah gulana di hati, timbul pula rasa tenang apabila dapat menyerahkan diri sepenuhnya kepada Tuhan yang mencipta.

Solat sunat hajat dan taubat pula disambung selepas solat sunat tahajjud berakhir. Dan, Habib terus dibungkusi dengan rasa khusyuk dan tawadduq di dalam setiap bacaan ayat suci kitab terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW itu.

Fatah terjaga sebaik sahaja Habib selesai memberi salam terakhir bagi solat sunat hajatnya. Wajah keruh Habib yang masih duduk tegak di atas sejadah direnung dengan mata yang masih terkelip-kelip kepedihan. Terpisat-pisat, Fatah turun dari katil dan bersila di hadapan Habib.

“Kenapa dengan anta ni?”

“Entahlah, ana pun tak tahu. Tiba-tiba mimpi ngeri yang ana alami dulu datang balik. Hati ana rasa berdebar-debar. Rasa tak tenteram, ana ambil keputusan untuk bersolat. Maaflah buatkan anta terjaga pula.”

“Tak mengapa. Lagipun memang ana berniat untuk bangun tunaikan solat sunat. Tak sangka anta sudah selesai dulu. Malunya ana,” balas Fatah sambil mencapai tuala kecil.

“ALLAH, bukan mahu bersaing tapi mungkin ALLAH menggerakkan hati ana untuk bangun. Pening ana memikirkan tentang mimpi ana. Macam mimpi yang bersambung. Macam ada petunjuk yang ALLAH nak berikan,” ucapan berupa keluhan keluar dari mulut Habib.

Dengan ketawa kecil Fatah keluar dari bilik menuju ke bilik mandi. Sekurang-kurangnya dia harus membersihkan diri sebelum menghadap Tuhan Yang Esa.

Habib yang ditinggalkan sendirian di kamar termenung lagi. Ini kali ketiga dia menerima mimpi sebegitu. Mimpi tentang orang yang sama. Mimpi yang lebih berupa peringatan atau petunjuk kepadanya. Mimpi pertama menjengukkan diri tatkala dia baru menjejakkan kaki ke kampus ini. Mimpi kedua pula muncul di awal semester yang baru ini. Dan baru sebentar tadi, dia memperolehi mimpi ketiga yang baginya adalah sambungan kepada mimpi dahulu.

“Berangankan bidadari mana lagi ni?”

Tersentak dengan teguran Fatah, Habib menoleh. Segera pula dia bangun dan memberi laluan kepada Fatah untuk menunaikan solat. Tangannya pantas mencapai naskah al-Quran yang berada di meja tulis lalu diselak sehingga ke muka surat hampir ke belakang.

Matanya tertumpu pada ayat pertama Surah Al-Mulk. Surah yang seringkali menjadi pilihannya apabila selesai solat sunat di tengah malam selain dari Surah As-Sajadah. Surah yang juga merupakan surah-surah pilihan Rasulullah SAW untuk dilagukan sebelum tidur setiap malam.

“Tabarakallazi…”

Ayat pertama surah itu dilagukan sebaik mungkin dalam nada suara yang tidak terlalu tinggi untuk mengelakkan solat sunat Fatah terganggu. Sekali lagi, dia tenggelam dalam alunan ayat suci itu. Selalunya dia memang begitu. Seringkali dia lupa diri apabila mula membaca al-Quran. Dia terus hanyut di dalam bacaan al-Qurannya sementara Fatah khusyuk di dalam solatnya.