Pelabuhan Dover menjadi saksi ikrar cinta agung Lara Mia dan Edri...
Pelabuhan Dover juga menjadi azimat kecekalan cinta Lara Mia yang hilang...
Dan...
Pelabuhan Dover juga menjadi nisan cinta suci yang bersemadi tanpa makam...
Bumi England menemukan mereka. Mengalun lagu rindu, menganyam permaidani cinta, menyulam janji di hati. Percintaan mereka bukanlah satu dongengan. Kasih yang mereka semai bukan untuk main-main. Andai mati, biar mati bersama.
Lara Mia dan Edri.
Mereka ibarat Uda dan Dara.
Boleh jua dikatakan seperti Romeo dan Juliet.
Atau juga Laila dan Majnun.
Namun kisah cinta mereka tiada penghalang! Cinta mereka terlerai bukan kerana tiada restu! Cinta mereka berkubur kerana janji dimungkiri!
Pemergian Edri ke bumi Pakistan meninggalkan coretan luka di dalam diari hidup Lara Mia. Pemergian tanpa pesan. Tiada kata-kata terakhir. Yang ada hanyalah tanda tanya. Seribu satu persoalan yang bersarang tanpa jawapan.
Tindakan Edri membuahkan sengsara kepada Lara Mia. Victor hadir menghulurkan kembali bahu untuk Lara Mia menangis. Masih menagih cinta yang bertepuk sebelah tangan, Victor sabar menanti sehingga pintu cinta Lara Mia terbuka untuknya. Cinta ditolak bukan bererti tiada peluang, cuma mungkin belum tiba masanya lagi untuk benih cinta bercambah. Biar dia terluka, asalkan Lara Mia bisa tersenyum kembali...
Langit Pakistan sekali lagi menyaksikan kecekalan Lara Mia. Menyertai rombongan Mercy Manchester bersama Victor, Maimoon dan Mohammad; Lara Mia menyimpan harapan yang menggunung untuk bertemu kembali dengan kekasih hati di negara itu.
Di bumi itulah, Lara Mia bertemu Salimullah dan Fatimah dalam usaha untuk membela nasib rakyat Thalkot. Harapan Lara Mia agar nasib kaum wanita di tanah Thalkot berubah (selain dari merubah nasib dirinya dan cintanya sendiri!).
Bermusim di Thalkot, wajah Edri masih segar di dalam ingatan Lara Mia. Namun mengapa jawapan semakin kelam? Satu persatu soalan hanya jatuh berguguran tanpa dijawab. Derita semakin parah, luka semakin mendalam. Ke mana menghilang arjuna hatinya? Bukankah Edri ke Pakistan untuk membantu rakyat di sana sejak dua tahun yang lalu?
Kepada Ona derita dikongsi bersama. Kepada Ona segala calitan hidup diberitakan. Mengapa masih juga belum ketemu orang yang dirindu? Mengapa terlalu payah untuk dia mengutip kembali serpihan cinta yang tinggal?
Pertemuan dengan Babar Yousofzai semakin merumitkan pencariannya. Langkah Lara Mia semakin tersekat. Antara pengorbanan yang harus diberi demi untuk mencari kembali kekasih hati yang hilang atau mengalah pada ugutan lalu terus meratap nasib rakyat Thalkot yang tidak akan berubah, Lara Mia terduduk mencari jawapan.
Zubeidah hadir merungkai segala-galanya. Episod hidup Zubeidah yang lara mendesahkan nafas lega di dalam pencarian Lara Mia. Zubeidah yang menjadi mangsa keadaan adalah punca segala rahsia terbongkar.
Dan sekali lagi...
Pelabuhan Dover menjadi hakim. Pengakhiran cinta yang kecundang... adakah akan tercantum kembali? Janji manis yang mengharapkan kemaafan... adakah mungkin akan menjadi dendam yang terindah? Cinta yang bertepuk sebelah tangan... mungkinkah benih cinta sudah mula bertunas dan akan terus menguntum?
Segala-galanya tertunai di Pelabuhan Dover...
Cinderella Cinta yang bahagiakah Lara Mia?
Atau... Cinderella Cinta yang merana kerana cinta?
Masih lagi... Pelabuhan Dover masih teguh untuk mengungkap segala persoalan...
"... hidup ini adalah rindu yang tak bertepian..."
Ulasan Rasmi
Nashya
16 May 2007
http://sebutirbintangdikakipelangi.blogspot.com